Khamis, 29 Mac 2012

Perkembangan Politik Kedah, 1957-1999

Perkembangan politik zaman kemerdekaan terus memperlihatkan penguasaan parti-parti politik. Disamping itu, Kesultanan tetap berpengaruh walaupun ada kekangan untuk melibatkan diri dalam kegiatan politik. Manakala corak kepimpinan masih berasaskan Islam,masyarakat majmuk dan golongan nasionalis. Di samping itu, proses demokrasi dan pembangunan negaramula melahirkan elit-elit baru. Golongan nasionalis tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kepimpinan tradisional dan mula merekrut golongan profesional baru. Kepimpinan Islam juga mula mendapat elit-elit baru tetapi kemasukan mereka agak perlahan. Hal yang sama juga berlaku kepada masyarakat bukan bumiputera yang banyak bergantung kepada kekuatan ekonomi.
Pilihanraya terus menjadi alat penting parti politik dan menjadi penanda kepada perkembangan sejarah politik. Sehingga 1999, negara kita telah menghadapi 10 kali pilihanraya. Pilihanraya pertama selepas kemerdekaan berlangsung pada tahun 1959. Perikatan memenangi kesemua 12 kerusi Parlimen, di Kedah dan 24 kerusi Dewan Undangan Negeri. Pada pilihanraya ini PAS mula memberi cabaran hebat bukan sahaja di Kedah, tetapi juga di Kelantan dan Terengganu. Walaupun PAS mendapat sokongan tokoh-tokoh terkemuka agama tetapi UMNO juga di sokong oleh ulama-ulama terkenal seperti Hj Abdul Rahman Merbok, Hj Hussein Che Dol dan Tuan Hj Ahmad Baling. Dalam hal ini, UMNO disokong oleh tiga sektor pengundi yang penting ketika itu iaitu, nasionalis, agama dan masyarakat bukan bumiputera. Demikian juga dengan pilihanraya tahun 1964 di mana Perikatan berjaya mengekalkan kesemua 12 kerusi Parlimen dan 24 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Bagaimanapun pilihanraya 1969 telah mengubah suasana politik Malaysia. Parti Perikatan hanya memenangi 66% kerusi di Tanah Melayu. Isu perkauman begitu hangat diperkatakan baik di peringkat Persekutuan ataupun di peringkat Negeri. Hasilnya UMNO hanya memenangi 54 kerusi daripada 68 kerusi yang dipertandingkan. Di negeri Kedah, tiga calon UMNO kalah bagi kerusi Parlimen manakala enam calon Dewan Undangan Negeri kalah. PAS ternyata berjaya meraih sokongan pengundi-pengundi Melayu. Hasil pilihanraya 1969 telah menyebabkan Perikatan kehilangan kerajaan Pulau Pinang kepada Parti Gerakan dan Kelantan kepada PAS.
Pilihanraya 1969 juga mencetuskan peristiwa pergaduhan kaum dan membawa kepada pengisytiharan darurat dan pentadbiran Malaysia diletakkan di bawah Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang diketuai oleh Tun Abdul Razak. Antara langkah yang diambil oleh Mageran ialah membekukan kegiatan parti politik. Pada 22 September 1970, Tunku Abdul Rahman telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan bermulalah era Tun Abdul Razak. Era Tun Abdul Razak juga memperlihatkan berakhirnya Perikatan dan tertubuhnya Barisan Nasional (BN). PAS turut menyertai BN. Ini memudahkan laluan kepada parti pemerintah memenangi pilihanraya tahun 1974.
Bagaimanapun, pada pilihanraya 1978, PAS kembali memberi saingan setelah keluar dari BN. Begitu juga dengan pilihanraya 1986, 1990, 1995 dan 1999. Penghujung abad ke 20 memperlihatkan percakaran politik yang sengit terutama kerana BN bukan menghadapi parti pembangkang secara sendirian tetapi buat pertama kalinya pembangkang di bawah nama Parti Alternatif memberi saingan sengit. Ini satu fenomena baru politik Malaysia dan juga Kedah. Jika keadaan ini berterusan, satu pola politik baru akan wujud dan masing-masing pasti mempunyai strategi untuk menghadapi pilihanraya-pilihanraya akan datang.
Perkembangan politik di Kedah pada zaman kemerdekaan bukan sahaja tertumpu kepada pilihanraya tetapi juga meliputi isu-isu kepimpinan negeri, pembangunan dan isu-isu tempatan. Selain daripada itu, skop yang mempengaruhi politik negeri juga sudah diperbesarkan dengan keperluan melihat apa yang berlaku di peringkat nasional. Malah pada keadaan tertentu, isu nasional lebih mendominasikan situasi politik di peringkat negeri. Apa lagi parti-parti yang terlibat di peringkat negeri sudah dipusatkan sistem, struktur dan operasionalnya. Satu kebanggaan Kedah dalam hal ini ialah kejayaan melahirkan pemimpin-pemimpin politik di peringkat nasional. Dua nama yang tersohor ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dan Tun Dr. Mahathir Mohamed.
Petikan daripada : Prof. Dr. Mohd. Isa Othman

Selasa, 27 Mac 2012

Struktur Politik dan Pemerintahan Kedah

Sultan menduduki tempat yang paling atas dalam struktur politik dan sosial di kedah. kedudukan Sultan dianggap sebagai perkara yang sah dan merupakan amalan serta ideologi turun temurun. Termasuk juga didalamnya kepercayaan-kepercayaan seperti daulat dan derhaka sebagai alat kawalan sosial kelas pemerintahan ke atas rakyat.
Legtimasi disahkan melalui adat istiadat, alat kebesaran, hak-hak istimewa dan setelah memodenkan institusi ini dipertahankan melalui undang-undang. Pada abad ke-20, Kedah diperintah oleh tiga orang Sultan - DYMM Sultan Abd. Hamid Ibni Sultan Ahmad Tajuddin (1881-1943), DYMM Sultan Badlishah Ibni Sultan Abd. Hamid (1943 - 1958) dan DYMM Sultan Abd. Halim Muazzam Shah Ibni Sultan Badlishah (1958 hingga sekarang)