Khamis, 7 Jun 2012

Wajarkah Majlis Peguam mempertikaikan pindaan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 ?

Akhbar Utusan Malaysia 8 Jun 2012. Majlis Peguam menyuarakan kekesalan dan kebimbangan terhadap pindaan yang dibuat ke atas Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) April 2012 dan menyifatkannya sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Sehubungan itu kata Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee, pindaan itu bercanggah dengan Perlembagaan kerana seolah-olah menyingkirkan bidang kuasa mahkamah. Katanya, Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut Dun mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang mengecualikan bidang kuasa mahkamah. 

Fatwa adalah keputusan dari penafsiran berkenaan Hukum Allah yang dibuat oleh ulamak yang alim dalam agama bukannya orang jahil. Hukum Allah adalah mutlak dan mengatasi Perlembagaan Persekutuan. Dan ianya untuk orang Islam yang sememangnya terikat dan patuh dengan Hukum Allah. Kenapa majlis Peguam mempertikaikan urusan yang berkaitan dengan agama Islam ? 

Berikut diperturunkan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 yang telah dipinda untuk pemahaman kita bersama. 

Kerajaan Negeri Kedah telah meluluskan pindaan undang-undang untuk menghalang fatwa yang diputuskan mufti atau jawatankuasa fatwa, sama ada diwartakan atau tidak, daripada dicabar, dirayu, disemak mahupun dipersoal dalam mahkamah sivil atau syariah. 

Peruntukan dalam Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) (Pindaan) 2012 itu dibentangkan dalam sidang DUN Kedah bagi menggantikan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10) dengan memasukkan Fasal 22A yang berbunyi ‘Walau apapun undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan, fatwa yang telah diputuskan oleh mufti atau Jawatankuasa Fatwa samada diwartakan atau tidak hendaklah dipatuhi dan tidak boleh dicabar, dirayu disemak dinafikan atau dipersoal dalam mana-mana mahkamah sivil atau syariah.’ 

Seksyen 7(1) Enakmen Mufti Dan Fatwa (Negeri Kedah) 2008 menyatakan Mufti hendaklah membantu dan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan berkenaan semua perkara Hukum Syarak dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Negeri Kedah Darul Aman selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kecuali jika diperuntukkan sebaliknya dalam Enakmen tersebut. 

Sekyen 7(2) pula menyatakan Mufti hendaklah bertanggungjawab terus Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Baginda bolehlah dari masa ke semasa memberi perintah sama ada secara am atau khas yang Baginda fikirkan perlu atau bermanfaat iaitu perintah yang tidak berlawanan dengan peruntukan Enakmen ini dan adalah menjadi kwajipan Mufti mematuhi dan melaksanakan perintah itu. 

Manakala Seksyen 8(1) menyebut Mufti hendaklah berkuasa mengeluarkan apa-apa fatwa. Seksyen 8(2) pula menyatakan walau apapun peruntukan Enakmen ini Mufti boleh sekira difikirkan perlu berbincang dengan Jawatankuasa Fatwa sebelum mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen ini. 

Berdasarkan seksyen-seksyen yang disebut di atas adalah amat jelas Mufti adalah pihak berkuasa utama dalam hal ehwal hukum syarak selepas Sultan. Dalam hal demikian adalah amat tidak wajar fatwa mufti boleh dicabar di mahkamah sama ada mahkamah sivil ataupun mahkamah syariah. Ini adalah bagi menjaga kehormatan terhadap institusi kefatwaan tersebut. Sayugia diingatkan bahawa Jawatankuasa Fatwa terdiri dari pakar-pakar agama dan mereka juga boleh menjemput orang lain yang pakar dalam bidang masing-masing untuk memberi nasihat kepada Jawatankuasa Fatwa dalam hal-hal tertentu berbanding dengan mahkamah yang mendengar sesuatu kes secara adversarial sahaja. 

Dakwaan mengatakan pindaan ini Ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak benar berdasarkan dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu Sulaiman Takrib mlwn Kerajaan Negeri Trengganu Mahkamah Persekutuan memutuskan institusi kemuftian ini adalah sah disudut Perlembagaan Persekutuan dan tidak langsung bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Fatwa masih boleh dikaji dengan bermuzakarah semula dengan Jawatankuasa Fatwa. Dengan semangat muzakarah ini suatu keputusan itu akan lebih dekat kepada Hukum Syarak berbanding jika ianya dibawa ke mahkamah, ia bermakna seseorang yang tidak berpuashati dengan sesuatu fatwa masih boleh merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa memohon meminda atau membatalkan sesuatu fatwa. Ia akan dilakukan dalam suasana muzakarah dengan Jawatankuasa Fatwa yang berkuasa menentukan kaedahnya. 

Sumber Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Untuk rujukan sila ke

Tiada ulasan:

Catat Ulasan