Rabu, 30 Mei 2012

Kenapa muzakarah PAS - UMNO sering tidak menjadi kenyataan ?

Pas yang mengajak UMNO bermuzakarah tetapi kemudiannya mengenakan pelbagai syarat yang jelas membuktikan bahawa Pas sememangnya suka berpolitik dan tidak mempunyai kesungguhan dalam memperjuangkan Islam.

Ternyata Pas terus terbelenggu dengan permainan politik dan ia bukanlah sesuatu yang menghairankan jika kita mengkaji sikap Pas sejak berkawan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pas yang ditubuhkan pada 1951 melalui perpecahan UMNO dan kelulusan penubuhannya diberikan oleh penjajah British tidak pernah konsisten dalam perjuangan. Segala keputusan dan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin parti itu berlandaskan kepada kepentingan politik semata-mata.
Ini terbukti apabila Pas menentang keras persahabatan antara UMNO dengan MCA dan MIC, mereka menolak pakatan tersebut dengan pelbagai hujah sama ada melalui ayat Quran atau hadis tetapi kini mereka bersekongkol dengan DAP yang terang-terang menentang penubuhan negara Islam dan perlaksanaan hukum hudud.

Sokongan PAS terhadap demonstrasi jalanan yang berakhir dengan kekecohan, kecederaan dan kemusnahan harta benda sedangkan ajaran Islam yang mahukan umatnya bersederhana dalam apa juga tindakan dan tidak bertindak melampaui batas.

Sikap hipokrit Pas yang paling ketara ialah sentiasa berusaha melindungi sama ada pemimpin parti itu atau sekutu mereka dalam apa juga perkara yang melibatkan isu moral atau lain-lain kesalahan  dan menganggap semua tuduhan sebagai fitnah dan konspirasi politik tetapi jika melibatkan UMNO dan BN mereka bermati-matian mahu mengadakan pelbagai siasatan termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Pas kini terpaksa bergantung kepada belas ihsan PKR dan DAP untuk memastikan mereka mendapat kerusi yang lebih dalam pilihan raya dan ini terbukti apabila mereka hanya mengikut telunjuk PKR dan DAP contohnya menggugurkan negara Islam yang diperjuangkan selama ini dan menggantikannya dengan negara kebajikan seperti yang dicanangkan oleh Pakatan Rakyat. Inilah diantara sebab-sebab kenapa muzakarah diantara PAS dan UMNO sering tidak menjadi kenyataan.

Renungkanlah firman Allah bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu ketika jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah Ali Imran, ayat 103)

Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan: 
“Dan barangsiapa yang mati dan ia menjadi orang yang memecah belah persatuan ummat – kaum Muslimin, maka sesungguhnya ia mati dalam keadaan mati jahiliyah.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan