Kenyataan
Baginda Sultan Johor dalam Seminar Perlembagaan Malaysia di Johor Bahru
hendaklah menjadi peringatan kepada setiap pemimpin politik yang memperjuangkan
kaum-kaum dalam negara kita. Fenomena yang berlaku kini jelas memerangkap orang
Melayu. Apa sahaja yang berkaitan dengan hak orang Melayu akan terus sahaja
dilabelkan sebagai perkauman sempit manakala jika ia berkaitan dengan hak kaum
lain maka ia akan dirujuk pula sebagai hak sama rata warganegara.
Hari
ini, menjadi suatu dosa besar hinggakan seseorang boleh kehilangan pangkat dan
jawatannya hanya kerana mengingatkan kita akan sejarah penubuhan negara ini.
Sebagai warga asal yang menduduki negara ini sudah tentulah orang Melayu
diberikan keistimewaan yang bukanlah terlalu banyak sebagai mengiktiraf
pengorbanan mereka sehinggalah negara kita dapat membangun sehingga hari ini.
Baginda
Sultan Johor membuat rujukan yang tepat apabila mengatakan bahawa para pejuang
kaum ini merujuk peruntukan Perlembagaan yang memberikan hak sama rata kepada
semua kaum, sedangkan peruntukan yang spesifik berkaitan kaum Melayu dan agama
Islam seolah-olah di kesampingkan pula oleh mereka.
Kadang
kala kenyataan yang dibuat melampaui pula kewajaran dan kewarasan yang
munasabah hingga perkara-perkara ibadat umat Islam dijadikan pula sebagai
hinaan untuk diperlekehkan. Dalam senario berbeza, lihatlah pula kenyataan yang
dibuat oleh Majlis Raja-Raja dan majoriti pemimpin Melayu yang apabila merujuk
kepada ketinggian agama Islam maka mereka juga akan menyebut bahawa hak-hak
bagi mengamalkan agama lain tidak akan diganggu gugat.
Begitulah
berhemahnya kita hingga apabila merujuk kepada institusi raja yang kita junjung
seolah-olah raja-raja yang ada ini hanya menjadi raja kepada orang Melayu
sahaja ataupun dalam keadaan lain seolah-olah terdapat pula Raja-Raja bukan
Melayu dalam negara kita.
Mengambil
jalan pintas dengan menyalahkan kaum lain semata-mata, pun tidaklah benar.
Orang Melayu perlu dikejutkan dari dibuai angan-angan kosong di tanah air
sendiri.
Apabila
kita meneliti satu demi satu peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, kita
akan dapati bahawa tidak ada satu pun dalam peruntukan tersebut merujuk kepada
terma Ketuanan Melayu. Apa yang dimaktubkan adalah hak-hak keistimewaan orang
Melayu.
Hak-hak
keistimewaan ini sebenarnya sudah memadai untuk menjadi pemangkin kepada
kebangkitan sebuah bangsa Melayu yang hebat. Sebaliknya, hak keistimewaan ini
tidak boleh menjadi instrumen bagi memapah bangsa Melayu kerana papahan
undang-undang tidak akan selamanya boleh menjadikan bangsa Melayu menjadi
bangsa yang kuat.
Dalam
realiti kehidupan sekarang, pemimpin politik Melayu hendaklah berpijak di bumi
nyata. Kerakusan mereka terhadap kuasa bagi mengukuhkan kedudukan diri sendiri
dan bukan kaum dan rakyat keseluruhannya akan mengakibatkan orang Melayu
dilihat sebagai kaum majoriti tetapi hanya memiliki suara minoriti.
Apa
maknanya kita menjaja hak ketuanan Melayu jika melihat realitinya pekerja
gedung adalah orang Melayu tetapi gedung itu dimiliki oleh tauke-tauke bukan
Melayu, pemandu kereta mewah adalah orang Melayu tetapi kereta mewah itu
dimiliki oleh orang bukan Melayu, tukang kebun banglo itu orang Melayu dan
pemilik banglo itu orang bukan Melayu.
Saudara
Zaini Hassan dalam ruangan Cuit-cuit, Utusan Malaysia pada 6 Oktober 2010
menyimpulkan fenomena masalah bangsa ini dengan baik sekali. Beliau menyebut
faktor "terlebih selesa" menjadikan masalah bagi kita bangkit dari
tidur yang lena.
Kita
juga harus dengan serius memberikan kefahaman kepada setiap warganegara akan
rukun teras kewujudan negara ini. Pemahaman silang budaya dan agama perlu terus
diperkukuhkan dengan lebih berkesan.
Bangsa
Melayu hanya akan terus wujud jika kita dapat memastikan orang Melayu tidak
terus terpinggir dalam negara ini.
Senikata
sebuah lagu yang dinyanyikan oleh Tan Sri S.M. Salim dan M.Nasir yang berbunyi
"Awak yang payah membelah ruyung, Orang bertandang yang beroleh untung,
Akhirnya kita tak akan dihitung". benar-benar mencuit hati saya. Sudah
tiba masanya orang Melayu bangkit kembali dihitung menjadi satu dalam
menentukan arah tuju wajah negara kita.
Sumber
Utusan 8.10.2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan