Seorang tokoh agama yang juga Pengasas
Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa‘amah tetap dengan pendiriannya bahawa
menyokong parti Pas termasuk pada pilihan raya umum akan datang adalah berdosa.
Malah, Abdullah
menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan mana-mana individu termasuk
pemimpin Pas sendiri yang tidak bersetuju dengan pendapat beliau itu. Beliau turut melahirkan
rasa hairan dengan sikap segelintir masyarakat yang masih tidak sedar bahawa
Pas sekarang tidak sama dengan Pas dahulu yang tidak lagi bertegas dengan
dasarnya menegakkan negara Islam.
“Pas masuk dalam pakatan
pembangkang dan bekerjasama dengan DAP yang tidak terima Islam sebagai dasar. Sementara Parti Keadilan
Rakyat (PKR) pula dasar dia liberalisme dan pluralisme yang menyatakan semua
agama termasuk Islam adalah sama, orang Islam dan orang lain sama rata.
Perjuangan liberalisme, pluralisme, sosialisme ini haram.
Pas duduk sekali dan
reda serta menyokong pula calon-calon DAP, PKR. Pas juga sokong dan reda bila
DAP menang dan jadi pemimpin, Timbalan Perdana Menteri, berdosa dari segi hukum
syarak. Sokongan Pas itu
menghancurkan Islam dan orang Islam. Umat Islam perlu menarik balik sokongan
mereka kepada Pas,” dakwanya ketika dihubungi oleh pihak media.
Abdullah diminta
mengulas kenyataannya sebelum ini yang menyatakan berdosa menyokong Pas kerana perjuangan parti itu kini tidak
lagi menegakkan negara Islam, sebaliknya membawa kehancuran kepada sesama umat
Islam apabila bersekongkol dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang dikatakan menyokong usaha memastikan keselamatan negara Israel.
Menurut Abdullah,
kerjasama Pas dan DAP berbeza dengan kerjasama UMNO dengan parti-parti komponen
Barisan Nasional (BN) yang telah memperakui kedudukan agama Islam dan umat
Islam sejak sekian lama.
Sementara itu, bekas
anggota Dewan Ulama Pas Pusat, Prof. Madya Mohd. Noor Deris menyokong
pandangan Abdullah itu mengambil kira perjuangan politik semasa Pas yang lebih
ghairah untuk berkuasa dan tidak lagi memperjuangkan pembentukkan negara Islam
sebaliknya negara berkebajikan.
Mohd. Noor yang juga
Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan turut berpendapat,
sokongan kepada Pas boleh menyebabkan perpecahan sesama umat Islam yang
sepatutnya bersatu.
“Penyatuan umat Islam
tunjang kepada kepimpinan Rasulullah SAW sebagaimana bertautnya kaum Muhajirin
dan Ansar, bahkan antara Aus dan Khazraj di Madinah. Sekarang umat Islam
berpecah kepada dua, sokong Pas dan UMNO. Sokongan sepatutnya diberikan kepada
UMNO yang lebih lama (tertubuh) berbanding Pas dan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO
juga terang-terangan sebut menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam agama
rasmi negara. Pas pula bersifat
was-was, dulu kata nak tegak negara Islam, sekarang negara berkebajikan. Dulu
Pas tentang kerjasama dengan orang kafir, sekarang Pas bekerjasama dengan orang
kafir. Pas parti yang tidak tetap pendirian dan tidak ada istiqamah,” katanya.
sumber fitrahislami.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan