Isnin, 2 April 2012

Mahu berubah ? Renungkan kata-kata ini.


Pemimpin BN jangan angkuh, elak berebut jadi calon

BALING 3 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak rakyat di negeri yang ditadbir oleh pembangkang khususnya Kedah melakukan perubahan politik dengan memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Perdana Menteri berkata, BN berjanji akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan perancangan teliti untuk membawa negara ke taraf maju dan berpendapatan tinggi.
"Kalau dahulu sedikit sebanyak kita buat silap, maka, saya hendak menyatakan bagi pihak BN, kita minta maaf kepada semua, yang menang minta maaf dan yang kalah pun minta maaf.
"Kita berjanji untuk belajar daripada kesilapan itu dan akan melaksanakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat 1Malaysia di Padang Awam Kuala Ketil, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Perdana Menteri berkata, jika pengundi menolak BN seperti di Kedah pada pilihan raya lalu, ia sedikit sebanyak adalah kerana BN telah membuat kesilapan.
Justeru, beliau mengingatkan supaya para pemimpin BN tidak bersikap angkuh dan bongkak.
"Sebab dalam demokrasi berparlimen, kita mesti tunduk kepada kuasa rakyat,'' tegasnya.
Najib berkata, BN akan belajar dan bangkit semula daripada kesilapan dengan memberi perakuan dan akujanji kepada rakyat untuk melaksanakan perkhidmatan terbaik jika diberi mandat di negeri-negeri di bawah pembangkang sekarang.
"Yang dahulu jadikan sempadan, jangan dibangkit-bangkit lagi. Kita janjikan perubahan untuk rakyat Malaysia dan Kedah (dan) perjalanan (ke arah itu) sudah bermula," katanya.
Najib turut mengingatkan para pemimpin BN khususnya di Kedah agar tidak berebut kerusi untuk menjadi calon pada pilihan raya akan datang.
Kata beliau, para pemimpin perlu sentiasa mengutamakan parti kerana apa yang penting adalah kemenangan BN tanpa mengira sesiapapun yang bertanding.
"Saya beri amaran kepada mereka yang di atas ini (pemimpin), kalau nak menang jangan berebut kerusi kerana yang penting adalah BN menang," katanya.

Utusan Malaysia  04/03/2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan