Selasa, 10 April 2012

Jangan Jadikan Senarai Calon Satu Isu


Badan Perhubungan UMNO negeri mengingatkan ahlinya supaya tidak menjadikan cadangan senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang telah dikemukakan oleh setiap bahagian sebagai satu isu kerana ia akan merugikan parti.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, mereka sebaliknya perlu menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan UMNO untuk membuat keputusan dan menyokong sesiapa sahaja yang bakal dipilih tanpa sebarang masalah.
"Jangan pula senarai calon menjadi satu isu dengan mempertikaikan seperti mengapa bahagian ini hanya hantar senarai nama kumpulan ini sahaja.
"Itu hanya cadangan, tetapi keputusan masih lagi di tangan Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Muzakir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kedah/Perlis di Anak Bukit di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Bashah, hampir kesemua bahagian UMNO sudah menghantar cadangan senarai calon yang terdiri daripada adunan muka baru dan lama untuk bertanding di kawasan masing-masing ke Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur dan salinannya kepada UMNO negeri.
Beliau berkata, hanya bahagian Sungai Petani dan Padang Serai yang pengurusannya di bawah seliaan UMNO negeri belum menghantarnya dan dijangka akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.
Kata beliau, senarai calon yang telah disediakan oleh setiap bahagian adalah seimbang dengan membariskan pelbagai golongan yang diyakini boleh menang apabila bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negeri ini.
Bahkan kata beliau, ada bahagian UMNO yang menghantar sehingga 30 senarai nama kerana yakin calon berkenaan boleh menang.
"Senarai calon itu merangkumi semua dan seimbang. Ada yang pernah dan tidak pernah bertanding, calon kitar semula pun ada, Selain itu calon Wanita, Pemuda, muka baru dan muka lama pun ada.
"Kita serah kepada pucuk kepimpinan buat keputusan dan sebagai rakyat Kedah, kita terima apa juga yang diputuskan," katanya.

Sumber Utusan Malaysia 10 April 2012             

Tiada ulasan:

Catat Ulasan